Monday, February 9, 2009

ISL-INTERAKSI 1

PENGERTIAN KONSEP PENTAFSIRAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN

PENTAFSIRAN
Satu proses untuk mendapatkan maklumat dan penghakiman tentang produk pendidikan.
Proses-langkah/tindakan/operasi yang digunakan untuk mendapatkan hasil yang dikehendaki.
Maklumat- bukti tentang prestasi pelajar dalam sesuatu perkara yang ditafsir.
Produk-pengetahuan, kemahiran, nilai yang pelajar perolehi melalui proses pendidikan.
Penghakiman- proses pertimbangan tentang pencapaian pendidikan pelajar.

Konteks pendidikan
ü Satu episod dalam proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menginterpretasi maklumat tentang hasil pembelajaran seseorang bagi tujuan tertentu.
ü Proses mendapatkan gambaran tentang prestasi seseorang dalam pembelajaran, aktiviti dijalankan semasa p&p, aktiviti dijalankan secara berterusan dan aktiviti yang bertujuan untuk mendapatkan pembelajaran yang baik.


PENGUJIAN
Pengujian dapat dianggap sebagai proses penyerahan set soalan yang piawai yang perlu dijawab, atau satu set instrumen bersama satu prosedur yang sistematik bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau pelajar. Menurut Cronbach (1970), “Ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menjelaskannya dengan bantuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori”.

Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkah laku pelajar seperti yang dinyatakan di atas, dikukuhkan oleh Milagros 1981, (dipetik dari Raminah, 1991) yang menegaskan bahawa: “Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan yang diperlihatkanoleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperoleh daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan”. (Raminah1991:2).

Hasil daripada pemarkahan jawapan pelajar, satu ukuran yang disebut sebagai “markah” akan diberikan kepada pelajar tersebut. Pengujian menjelaskan tahap berapa baiknya prestasi pelajar yang diuji. Proses pengujian lazimnya bermula dengan peringkat persediaan, diikuti pelaksanaan/ pentadbiran ujian dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan. Melalui pengujian inilah seseorang guru mengetahui sama ada pelajar-pelajarnya telah menguasai pengetahuan, kemahiran atau sikap yang ingin disampaikan guru.



PENILAIAN
Penilaian adalah konsep yang telah digunakan dalam pelbagai bidang. Penilaian dilakukan kerana mempunyai matlamat tersendiri. Dengan mengadakan penilaian, ia akan membolehkan kita membuat anggaran, sama ada matlamat yang telah ditetapkan itu tercapai atau sebaliknya. Penilaian juga dapat dianggap sebagai satu cara untuk mendapatkan bukti yang tepat tentang sesuatu perkara. Maklumat dan bukti ini amat penting dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Misalnya, dalam pendidikan, penilaian dapat menyelesaikan masalah tentang pencapaian matlamat yang ditetapkan, seperti menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) di kalangan murid sekolah rendah. Penilaian boleh dianggap sebagai proses membuat pertimbangan atau keputusan dalam memberikan nilai, mutu, kualiti atau harga bagi sesuatu benda atau perkara. Stufflebeam et al. (1971:xxv) menyatakan penilaian sebagai “proses delineating, mencari dan memberikan maklumat yang berguna dalam mempertimbangkan alternatif-alternatif keputusan”.

Gay (1985) berpendapat bahawa “penilaian ialah satu proses yang sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu telah tercapai”. Ini seterusnya membolehkan guru membuat pertimbangan ataukeputusan yang tepat berhubung pengajaran dan pembelajaran. Justeru, penilaian berbeza dengan pengukuran yang melibatkan hanya pemberian ukuran dalam bentuk nombor tertentu yang lebih bersifat kuantitatif. Sebelumnya, Popham (1975) menyatakan penilaian yang sistematik perlu mempunyai satu tafsiran yang formal tentang nilai fenomena pendidikan. Secara menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek hasil pengajaran dan pembelajaran dan juga hasil program pengajian berbanding matlamat asalnya.

1 comment:

  1. salam..

    terima ksih atas ilmu yang dikongsi..
    manfaatnya nyata..
    =)

    ReplyDelete